Semalam...
"Apakah ukuran solat kita disisi Allah SWT?" Soal ustazah Ira kepada anak-anak murid kesayangannya. Aishah yang daripada tadi tersengguk-sengguk menahan mata, tersentak. Dia tunduk memikirkan jawapan. Hatinya jadi sebak apabila dia mendengar..." Allah lihat pada hati hamba-Nya, adakah ia sujud seperti mana sujudnya badan ataupun tidak." Sambung ustazah Ira.
Tazkirah kali ini, benar-benar membawanya mengimbau zaman kanak-kanak. Aishah pernah bersekolah di Sekolah Rendah Islam Al-Irsyad, sebuah sekolah swasta yang berhampiran dengan rumahnya. Ketika di sekolah, semua pelajar wajib untuk menunaikan solat zohor kerana masa pembelajaran tamat jam 3 petang.
Sejak darjah satu, Aishah dididik oleh guru-gurunya cara menunaikan solat secara praktikal. Bermula daripada mengambil wudu', meluruskan saf solat, lipatan kaki ketika duduk diantara dua sujud, cara sujud dan semua gerakan di dalam solat. Satu persatu dan setiap hari dibetulkan. Sehinggakan solat menjadi rutin hariannya.
Setiap hari 5 waktu. Subuh, zohor, asar, maghrib, isya'.
Tetapi keadaan itu di waktu umurnya setahun jagung. Kini umurnya sudah meningkat dewasa, solat sunat rawatib dan dhuha menjadi tambahan dalam ibadahnya, setiap kali meningkatnya umur, pasti akan ada perkara baru yang dia lakukan untuk memperbaiki ibadahnya.
Sehinggalah detik ini...
" Cikgu mahu kamu semua tahu satu hakikat bahawa, sesuatu perkara adalah kosong sekiranya dilakukan tanpa iman." Tenang ustazah Ira mengeluarkan kata-kata ini. Aishah tunduk. Bagi Aishah kata-kata ini sangat mengetuk jiwanya. Susah. Iman itu tak statik. Kadang-kadang tinggi, kadang-kadang rendah.
Pelbagai persoalan bermain di fikirannya, 'Adakah solatku selama ini adalah rutin hidupku?' dan 'Adakah solat yang aku lakukan ini, aku hadirkan dengan hati atau sekadar pergerakan badan sahaja?' Satu lagi momentum penolak.
Dia bingkas menangkat tangannya, ustazah Ira memandang anak murid kesayangannya. " Ustazah, bagaimana untuk kita sentiasa khusyu' dalam solat?" Akhirnya, terkeluar persoalan yang membenak di fikiran.
" Ok. Semua salin!" Ustazah Ira mengambil macker pen dan mula menulis.
AKU MAHU KHUSYU' DALAM SOLAT!
1. Membesarkan Allah dengan sifat-sifatnya.
2. Menunaikan solat, seumpama kamu melihat Allah. Jika tidak boleh, maka yakinlah bahawa Allah melihat kamu. Hadis 2, sifat Ihsan.
3. Bersiap dengan sebaik-baik persiapan. Siapkan jiwa.
4. Cuba hilangkan ganguan fizikal.
5. Putuskan hubungan dengan nafsu.
6. Buat apa-apa cara untuk khusyu' dalam solat.
7. Yakin bahawa Allah tempat sebenar-benar mengadu.
Aisyah menyalin dengan pantas. Dia tidak teragak-agak mahu mempraktikan. Dia sudah letih bergelumang dengan tipu daya dunia. Ramai rakan-rakan memandangnya sebagai budak yang baik, lurus, ceria. Tetapi hakikatnya, hatinya tidak tenang. Dia mahukan sesuatu yang lebih bermakna dalam hidupnya.
Ustazah Ira menutup tazkirahnya dengan satu video...
Aisyah mengamati setiap rangkapnya.
http://www.youtube.com/watch?v=3hVaAUxI4ZY
Kini Aisyah faham. Dia yakin bahawa solat bukanlah satu exercise badan yang telah digembar gemburkan oleh orang barat. Allah lebih memahami hakikat manusia, iman yang bertambah dan berkurang. Kerana itulah solat diwajibkan setiap beberapa jam. Bagi membersihkan kembali diri. Bagi charge kembali tenaga yang hilang.
Kata ustazah, satu sebab kenapa manusia cepat futur. Suka melewat-lewatkan solat. Allah cipta tenaga yang diperlukan manusia cukup beberapa jam sehinggalah masuk ke solat seterusnya. Kedua, sekarang ramai orang mementingkan fiqh dalam solat, berbanding penghayatan terhadapnya.
Fikiran Aisyah benar-benar jelas. Sekarang masa untuk mengaplikasikan dalam kehidupan. Satu kefahaman tanpa pengamalan adalah sia-sia. Ini pegangan hidup Aisyah.
Iman memuncak, mengharapkan peringatan berterusan agar jatuhnya tidak menjunam, tetapi sekata.
-TAMAT-
Rujukan : Al-hayah fi mihrab as-solah, Mustafa Masyhur.
Nahdiyyah bt Rushdan
Siswazah Syariah Islamiah Al-Azhar
Kaherah, Mesir
Tiada ulasan:
Catat Ulasan