Sabtu, 13 Julai 2013




Huhhh…menghela nafas panjang tatkala mendapat mesej pesanan ringkas, “ Saudari, untuk bulan Ramadhan ni , ada apa-apa artikel yang boleh disiarkan di ruangan blog? ” Bukan hati tidak sudi menerima arahan, tetapi diri ini yang sudah tenggelam dengan agenda sendiri sedikit berat untuk menerima arahan lain.
Hal ini kesan daripada keadaan Mesir yang masih tidak menunjukkan apa-apa tanda bahawa keadaan akan kembali seperti sedia kala. Hati ini sering berkira-kira untuk membuat sesuatu keputusan.

Sudah dua tahun lebih aku berkelana di negara orang. Kini umurku sudah mencecah 22 tahun, tetapi satu perkara yang amat aku kesali… aku masih lagi tiada agenda yang jelas untuk hidup ini.
Sahabat-sabahat, murabbi murabbiyat telah berkali-kali menasihati; “Rancang hidup anti! buat timeline 20 tahun akan datang apa yang anti mahu jadi.”

Tetapi aku degil, bagiku aku tahu apa aku nak. Hidup ini tidak boleh diduga. Kadang-kadang apa yang kita mahukan bukan semuanya akan dapat. Jadi hiduplah dengan tenang dan bersyukur dengan apa yang ada.

Pembelajaran Tak Formal
Itu aku yang dahulu, kini aku telah belajar sesuatu daripada rakyat Mesir. Masa tidak akan mengubah kita jika kita tidak mengubah diri kita sendiri. Rakyat Mesir tidak akan dapat dan mustahil untuk memajukan Negara, jika mereka tidak membuang sifat tergesa-gesa. Isu yang sedang hangat sekarang, mereka berpakat menjatuhkan pemimpin yang tidak sampai setahun menjadi perdana menteri, alasannya kerana kenaikan harga barang-barang asasi secara mendadak. Tidak kisahlah secerdik mana pun pimpinan yang mentadbir mereka, jika beginilah sikap mereka, tiada peluanglah untuk mereka maju.

Bukanlah niat hati ini untuk merendah-rendahkan rakyat Mesir, sebenarnya lebih banyak pengajaran positif yang aku perolehi berbanding negatif. Tetapi sikap ini perlu diubah. Begitu juga aku, sikap suka mengikut arus, menyerah pada keadaan menyebabkan diriku tidak mampu untuk bertahan jika ditimpa sesuatu di luar dugaan.
Firman Allah s.wt di dalam al-Quran dalam Surah Ar-Ra’d
إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ

Superwomen
20 tahun akan datang aku ingin menjadi seorang tokoh wanita yang mampu menjawab persoalan-persoalan berkaitan fiqh wanita. Wanita yang cemerlang melaksanakan kewajipan sebagai seorang isteri, ibu kepada anak yang menghafaz quran dan mempunyai pangkat doktoroh dalam bidang fiqh wanita.

Sungguh, angan-angan ini melangit tinggi jika mahu dibandingkan dengan usaha sekarang. Janganlah seperti Mat Jenin. Mengangankan telur ayam emas, duduk di atas pokok tiba-tiba angin bertiup, jatuh daripada pokok dan patah tangan.
Perancangan hidup yang teliti. Jelas matlamat hidup. Tidak mengikut arus dunia. Tegas dan fokus pada agenda hidup. Selarikan agenda diri dengan tuntutan agama dan masyarakat.

Ramadan Sesi Latihan
Tinggal 26 hari lagi ramadhan akan meninggalkan kita. Sepanjang empat hari ini, berapa banyak yang telah kita pelajari daripadanya?

Mengagendakan hidup bukanlah semudah menulis di atas manila kad yang besar, juga bukanlah dengan cara memberitahu kenalan-kenalan bahawa aku ingin jadi sekian-sekian. Tetapi mengagendakan hidup pada pendapatku adalah apabila individu itu tersemat di dalam pemikirannya apa yang dia mahu sumbangkan untuk Islam, sejauh mana dirinya tertolak untuk menggapai impiannya. Dia tidak mudah mengikut telunjuk, mahupun mengikut arus. Jati dirinya utuh bak konkrit.

Apakah kesinambungannya agenda diri dengan ramadhan?
Berbeza agenda muslim dengan bukan muslim. Jika bukan muslim, yang menjadi kayu ukur mereka adalah nafsu semata-mata. Mereka akan lebih cenderung mengejar kemewahan dunia, kegembiraan di dunia dan melayan karenah nafsu yang tidak pernah kenal erti puas.

Muslim pula agendanya meluas. Fikirannya bukan sahaja memikirkan untuk diri tetapi untuk umat Islam seluruhnya. Fokusnya pada agama Islam yang tercinta. Allah S.W.T tujuan hidupnya, Rasulullah S.A.W contoh teladan dalam hidupnya, al-quran perlembagaannya dan mati di jalan Allah adalah cita-citanya.

Kesemua tindakan ini mestilah dilaksanakan tanpa terikat sedikit pun dengan hawa nafsu. Dan di bulan ramadan inilah para muslimin berusaha mendidik  diri melawan nafsu. Natijah latihan ini bukanlah untuk kebaikan hari ini sahaja, tetapi natijahnya memberi kesan pada keseluruhan hidup seseorang individu itu.

Benarlah sabda Rasulullah S.A.W :
من قام رمضان ايمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه



Semoga bulan ini, akan melahirkan jiwa-jiwa baru. Semoga agenda muslimin seluruhnya mudah untuk dicapai selepas bulan Ramadan. Ameen.


1 ulasan:

Ginny Laura berkata...

WOW Keren nie artikelnya
Sambil baca artikel ini, Aku numpang promosi deh !
Agen Bola, Bandar Bola Online, Situs Taruhan Bola, 7meter