Ahad, 18 Mac 2012

Kerana Satu Perubahan


"Aduh, sakitnya! "

"Aaaaaaaaaaaaa!"

Aku tahu ini sudah kali berapa aku terjatuh. Aku terjatuh dan bangun kembali, terjatuh dan bangun kembali dan setiap kali aku terjatuh aku pasti bangun kembali. Bezanya adalah terkadang aku bingkas bangun meneruskan perjuangan dan kadang-kadang kemalasan menguasai diri jadi aku berlambat-lambatan.

Bilakah agaknya ia akan berakhir? Bilakah masanya aku dapat berjalan terus tanpa perlu rebah lagi? Bilakah masa itu akan tiba? Masa dimana aku tidak lagi melakukan kesilapan. Kesilapan yang terkadang telah aku lakukan berkali-kali.

Sehinggakan pernah sampai satu tahap aku dirundum kesedihan. Aku menangisi kelemahan diri. Aku mengadu pada Allah s.w.a. dengan menghitung kembali dosa yang telah aku lakukan. Aku juga mengadu pada manusia, yang bagiku akan memberikan aku satu rawatan terhadap kesedihan ini. Aku terus berusaha tanpa henti. Aku cuba mencari sebuah keseronokan dengan bertemu sahabat-sahabat seperjuangan, saling menguatkan antara satu sama lain, saling bertukar-tukar pandangan , makan bersama, tidur dan belajar bersama-sama.

Tetapi hasilnya, tidaklah seperti yang aku jangkakan. Aku masih juga sama seperti dahulu. Keadaan hidupku tidak berubah sedikit pun. Malah semakin teruk, kerana dalam beberapa hari ini aku tidak melaksanakan kerja. Kerjaku bertangguh-tangguh. Semua yang telah aku lakukan seperti tidak mengubah sedikit pun corak hidupku.

Dalam aku termenung memikirkan apakah yang patut aku lakukan, tiba-tiba aku tersedar aku masih belum melakukan satu perkara, iaitu 'Berubah'!

Aku masih belum cuba untuk berubah. Aku tidak cuba untuk berubah daripada perangai aku yang buruk kepada baik. Aku masih lagi mengulang kesalahan yang lama kerana aku tidak mengubah cara pemikiran aku. Aku tidak mengubah cara kerjaku daripada sempoi kepada lebih sistematik.

Aku tanya pada diri, adakah aku ini seorang yang egois?

Adakah hatiku sudah sekeras batu?

Adakah aku masih lagi mahu menjadi contoh yang terbaik kepada manusia?

Aku sedar siapa aku. Aku adalah kader-kader dakwah yang setiap hari mengimpikan agar Islam kembali menaungi bumi, Islam kembalikan sinarnya seperti diera kegemilangan. Aku mahu jadi salah seorang kader yang menjadi asbab gemilang Islam di atas muka bumi ini.

Impianku tinggi dan aku juga sedar untuk mencapainya memerlukan fokus yang sepenuhnya daripada pelbagai aspek, perancangan yang teratur disertai dengan disiplin, peribadi yang mantap yang tidak mudah di gugah ataupun dihanyutkan dengan propaganda ataupun dengan masalah-masalah kecil. Juga peribadi yang sentiasa mahu berubah untuk menjadi lebih baik, lebih dan lebih.

Realitinya mahu melakukan satu perubahan bukan sesuatu yang mudah. Perubahan memerlukan kesabaran, ilmu, dan azam yang tinggi. Ingin mengubah sifat peribadi diri memerlukan keazaman yang tinggi dan mengambil masa, inikan pula ingin mengubah suasana persekitaran menjadi suasana Islam, undang-undang Islam, cara hidup Islam dan semua itu memerlukan masa. Itu matlamat kita! jadi mahu tidak mahu teruskan mengubah diri menjadi kader yang lebih baik dari masa ke semasa.

"Membangun Ummah Beragenda"

Tiada ulasan: