Khamis, 21 Julai 2011

Adab Menuntut Ilmu



Ilmu tanpa amal, ibarat pohon tanpa buah. Ilmu tanpa akhlak ibarat emas, berharga di dunia tetapi tidak menjadi pemberat timbangan di akhirat. Kita sering teruja apabila terbaca artikel yang membincangkan tentang tips–tips untuk berjaya dalam pelajaran,


"Aku mesti cuba ikut tips ni! Aku nak cemerlang tahun ni!"


Tetapi kita terlupa bahawa ada sesuatu yang lebih utama yang mesti kita dahulukan, iaitu menjaga adab-adab sebelum menuntut ilmu. Mari kita selami kata-kata ulama’ zaman khalifah Umayyah, ibnu Mubarak dalam kitabnya Mansuah al adab al islamiah :


"Aku mempelajari adab selama tiga puluh tahun dan aku mempelajari ilmu selama dua puluh tahun. Dan adalah mereka (ulama') mempelajari adab kemudian mempelajari ilmu"


Ulama’ terdahulu amat menekankan adab dalam menuntut ilmu. Hal ini kerana, mereka sedar akan kesan buruk yang akan berlaku tanpanya. Menuntut ilmu juga adalah satu ibadah, jadi tidak salah jika kita mencantikkan ibadah kita dengan menjaga adab-adabnya. Umpama kita menunaikan solat fardhu. Allah s.w.a sentiasa memuliakan orang-orang yang menuntut ilmu, maksud firman Allah dari Surah Fathir ayat 28 :


“ Dan demikian (pula) di antara manusia, makhluk bergerak yang bernyawa dan haiwan-haiwan ternak, ada yang bermacam-macam warna ( dan jenis). Di antara hamba-hamba Allah yang takut kepada-Nya, hanyalah para ulama. Sungguh, Allah maha perkasa maha pengampun “



Adab – adab menuntut ilmu :

Ikhlaskan niat

Kekuatan sebuah rumah itu, bergantung pada sejauh mana kukuhnya binaan tiang. Jika runtuh tiang tersebut maka hancurlah rumah. Tiang itu ibarat niat, jika tersasar niat maka musnahlah amalan yang kita lakukan. Begitu juga dalam menuntut ilmu, niat memainkan peranan penting. Allah s.a.w berfirman dalam surah Muhammad ayat 7, yang bermaksud :


“ Wahai orang yang beriman kalau kamu membela agama Allah nescaya Allah akan membela kamu dan mengukuhkan tapak pendirian kamu “


Untuk menjadi orang yang berilmu dan berjaya itu senang, tetapi untuk menjadi orang yang berilmu, berjaya, dalam masa yang sama beroleh keredhaan daripada Allah itu sukar. Hati fitrahnya mudah berbolak balik, kerana itulah kadang-kadang niat tersasar pada landasan.

Pada awalnya “ Ya Allah, sahaja aku belajar kerana Allah s.a.w “ . Apabila dipuji “ Aku mesti berjaya sebab nanti senang nak buat kerja dakwah“. Apabila sudah berjaya “ Kalaulah aku berusaha kuat lagi, mesti lagi tinggi markah aku dapat “.

Semua ini pasti pernah menyerang sesiapa sahaja. Hatta sehebat manapun orang itu. Rasulullah s.a.w sendiri sangat menekankan kesucian niat para sahabat, sabda baginda yang sangat terkenal :


“ Sesungguhnya setiap amalan itu bermula daripada niat dan sesungguhnya bagi setiap seorang itu apa yang diniatkannya. Maka barang siapa hijrahnya kerana Allah dan rasulNya, maka hijrahnya untuk Allah dan rasulNya dan barang siapa hijrahnya untuk dunia, maka apa yang dimaksudnya itu akan terpenuhi atau kerana seorang wanita, maka ia mengahwininya. Oleh yang demikian hijrahnya adalah berdasarkan kepada maksud apa hijrahnya itu dilakukan “


Jika mahu membahaskan tajuk ini, pasti panjang perbahasannya. Tetapi apa yang mahu ditekankan ialah adab yang utama dalam menuntut ilmu ialah niat yang ikhlas kerana Allah s.a.w. Perbaharuilah niat sentiasa.


Bersungguh-sungguh dan sanggup berkorban

Tiada istilah jalan pintas dalam menuntut ilmu. Janganlah berharap untuk memahami dan menguasai ilmu itu serta merta tanpa perlu berkorban dan berusaha. Sesungguhnya menuntut ilmu itu satu proses yang memerlukan banyak pengorbanan. Korbankan masa, tenaga, kewangan dan kesenangan.

Sesungguhnya Allah s.w.t maha mengetahui kesusahan orang-orang yang menuntut ilmu, kerana itulah Allah s.w.t meletakkan ganjaran yang lumayan untuk mereka.


“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami; dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”

[al-Ankabut, ayat 69]


Tidak cepat berputus asa


Susah untuk mengolahkan adab yang ketiga ini, kerana saya sendiri lemah apabila berhadapan dengannya. Hidup ini ibarat roda yang berputar. Kadang kita diatas, kadang kita dibawah. Dan setiap manusia pasti pernah merasai perasaan berada di bawah dan di atas. Suka untuk menghayati ayat Allah dalam kitabnya yang bermaksud :


“ Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya ( dengan berfirman), ‘sesungguhnya aku tidak menyia-nyiakan amal orang yang beramal diantara kamu, baik laki-laki maupun perempuan , kerana sebahagian kamu adalah (keturunan) dari sebahagian yang lain. Maka orang yang berhijrah , yang diusir dari kampong halamannya , yang disakiti pada jalan-Ku, yang berperang dan yang terbunuh , pasti Aku hapuskan kesalahan mereka dan pasti aku masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai, sebagai pahala dari Allah.dan disisi Allah ada pahala yang baik.”

[Ali Imran,ayat 195]


Ayat ini amat menenangkan hati orang-orang yang beramal dijalan Allah. Tiada apa yang patut dirisaukan, Allah telah menjanjikan sesuatu yang sangat berharga sebagai balasan untuk para hambanya yang beramal. Lakukanlah sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan bertawakkallah pada Allah yang maha memenuhi janji. Sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya.

Inilah adab-adab yang dapat saya kongsikan. Mungkin banyak lagi adab-adab yang boleh kita amalkan, tetapi bagi saya ketiga-tiga adab ini sepatutnya sudah sebati dalam diri kita sebagai seorang muslim.



Tiada ulasan: